Hoki: Malaysia tarik diri kejohanan di Bangladesh

0
1

MALAYSIA akur sekali gus menarik diri daripada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia  2021 di Dhaka, Bangladesh yang dijadualkan berlangsung pada 14 Disember ini. 

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam kenyataannya, mengumumkan pasukan hoki senior lelaki kebangsaan menarik diri berdasarakan arahan dan pandangan daripada pihak Majlis Sukan Negara (MSN). 

KHM berkata, Kementerian-Kementerian yang bertanggungjawab berkaitan pandemik Covid-19, juga turut berpandangan skuad hoki negara patut menarik diri daripada menyertai kejohanan tersebut.

Berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menyaksikan skuad hoki negara perlu menjalani kuarantin kendiri bermula 8 hingga 14 Disember 2021 jika mahu berlepas ke Dhaka, Bangladesh yang sekali gus memberi kesan kepada tarikh kejohanan.

“Antara sebab lain KHM terpaksa membuat keputusan untuk menarik diri daripada kejohanan berkenaan kerana salah seorang pemain Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang dibimbing A Arulselvaraj disahkan positif Covid-19 baru-baru ini. 

“Kini pemain tersebut termasuk keseluruhan pasukan sedang menjalani proses kuarantin wajib yang telah ditetapkan.

“KHM juga cakna dengan beberapa ketetapan baru oleh Kerajaan Malaysia (prosedur perjalanan keluar-masuk Malaysia) dalam usaha membendung penularan Covid-19 termasuk kegurasan penularan varian baru Omicron. 

“Oleh yang demikian, KHM juga tidak akan berkompromi mengenai soal kebajikan, kesihatan dan juga keselamatan pemain-pemain kebangsaan,” kata kenyataan itu, hari ini. 

Walaupun tidak menyertai kejohanan tersebut, skuad hoki negara akan meneruskan sesi latihan selepas tamat tempoh kuarantin dan akan memberikan fokus sepenuhnya kepada Kejohanan Hoki Piala Asia 2022 yang dijadualkan akan berlangsung pada awal tahun 2022. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here