KESEMUA Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 Hari Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah dicapai, disempurna dan dijayakan sepenuhnya, kata Menteri Kanannya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau berkata ia berdasarkan 15 inisiatif di bawah enam aspirasi untuk dilaksanakan dalam 100 hari pertama kepimpinannya di Kementerian Pertahanan.
Enam aspirasi itu katanya, merangkumi memerangi Covid-19; mengawal sempadan negara; mengerat kerjasama antarabangsa; memenuhi keperluan kediaman anggota; membela kebajikan veteran ATM; dan melaksanakan program jiwa murni.
Menurutnya, usaha memerangi Covid-19 termasuk menerusi pelaksanaan Combat Medic Vaccination Team, Vaksinasi Pandu Lalu, pelaksanaan Operasi Benteng serta engoperasian Hospital Medan.
“Di bawah Projek Jiwa Murni sebanyak 107 dilaksanakan tahun ini dan setiap satunya disempurnakan hasil kerja keras anggota dari Rejimen Jurutera Diraja.
“Saya juga memuji ketangkasan TUDM melakukan 21 penerbangan bantuan bagi membawa peralatan perubatan Covid-19 khususnya ke Sabah dan Sarawak serta Semenanjung,” katanya dalam Majlis Aspirasi 100 Hari ATM di Kem Sungai Besi, hari ini.
Dari sudut perumahan, Hishammuddin berkata untuk 100 hari pertama, matlamat kementeriannya menyediakan sekurangnya-kurang 2,000 unit kediaman baharu dan ia telah direalisasi menerusi pelancaran 2,000 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Bukit Jalil, bulan lalu.
Ketika ini katanya MINDEF melaksanakan perancangan untuk membina 28,033 unit RKMAT di seluruh negara sehingga 2030.
Dalam usaha meringankan beban keperluan harian, Hishammuddin berkata pihaknya telah menyediakan 25,600 bakul makanan bagi membantu veteran ATM yang terkesan akibat wabak Covid-19.
“Pendekatan Diplomasi Pertahanan juga diperkukuh dalam 100 hari ini termasuk melalui 11th FPDA Defence Minister’s Meeting; ASEAN Defence Ministers’ Meeting, Manama Dialogue; dan komunikasi dua hala berterusan saya dengan rakan-rakan sejawat di seluruh dunia,” katanya.
Katanya lagi, keupayaan MINDEF dan ATM menjayakan perancangan 100 hari itu amat baik namun semua pihak tidak boleh cepat berpuas hati.
“MINDEF ini sebuah kementerian yang besar. Ia mempunyai 120,000 anggota tetap dan 51,000 anggota simpanan, 10,500 warga awam, 270,000 anak-anak anggota, 204,020
veteran ATM berdaftar, 38 sekolah, lima hospital ATM.
“Malah di bawah MINDEF dan ATM juga, terdapat kira-kira 30 juta rakyat Malaysia
dan sebuah negara berdaulat yang perlu kita pastikan keselamatan dan keamanannya.
“Sebab itulah, saya ingin maklumkan bahawa biarpun hari ini kita bercakap tentang pencapaian 100 hari, tanpa melengahkan masa, esok MINDEF akan memulakan perancangan pasca 100 harinya.
“InsyaAllah saya sendiri akan melihat apakah dasar dan inisiatif yang boleh dilaksanakan sepanjang tahun 2022 melalui Pelan Tindakan 2022,” katanya. – Malaysiapost

