STATUS projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, sama ada disambung semula atau sebaliknya masih belum diputuskan kerana masih di peringkat perbincangan awal kedua-dua negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad, berkata projek itu sebelum ini terbatal apabila perjanjian dua hala luput, pada 31 Disember 2020.
Beliau berkata, cadangan menghidupkan semula projek berkenaan telah dibangkitkan dalam pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong, pada 29 November lalu.
“Dalam responnya, Perdana Menteri Singapura terbuka untuk menerima cadangan baharu dari Malaysia untuk projek HSR ini.
“Saya ingin menekankan, kemungkinan menghidupkan semula projek HSR Kuala Lumpur-Singapura ini masih dalam perbincangan peringkat awal,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (Bagan-DAP) sama ada projek HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru akan dibatal dan digantikan dengan cadangan pemulihan HSR Kuala Lumpur-Singapura.
Mustapa turut menyangkal persoalan berhubung kos projek HSR Kuala Lumpur-Singapura boleh dikurangkan kepada RM50 bilion, selain menyifatkannya sebagai tidak berbangkit.
Menurutnya, berdasarkan anggaran Malaysia menerusi model dicadangkan, iaitu HSR 2.0 (Baharu), kos projek adalah jauh lebih rendah dengan kos cadangan HSR 1.0 dan HSR 2.0.
Sementara itu, Mustapa berkata, kerajaan memutuskan supaya kajian daya maju projek HSR Kuala Lumpur-Iskandar Puteri dilaksanakan, apabila HSR Kuala Lumpur-Singapura terbatal.
Katanya, kajian dilaksanakan pada Februari lalu itu sudah selesai dan akan dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat bagi menentukan hala tuju cadangan projek berkenaan. – Malaysiapost

