i-Citra RM10,000 untuk keperluan mendesak sahaja

0
1

PEMUDA Umno sekali lagi membangkitkan mengenai tuntutan rakyat bagi pengeluaran wang simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui i-Citra sebanyak RM10,000 kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau turut mencadangkan, mungkin untuk pengeluaran kali terakhir itu, diberikan pilihan kepada mereka yang memang benar-benar berkeperluan mendesak sahaja.

Menurutnya, permohonan pengeluaran juga dihadkan kepada yang mempunyai baki yang mencukupi.

“Malam ini (tadi) selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, saya sempat berbincang dengan Perdana Menteri buat kesekian kalinya mengenai isu dibangkitkan rakyat khususnya pengeluaran KWSP i-Citra RM10,000.

“Saya memberikan penjelasan bahawa ramai yang memang dalam keadaan susah dan terdesak pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memulakan kehidupan akibat dibuang kerja, pemotongan gaji, cuti tanpa gaji dan hilang punca pendapatan sejak awal tahun lagi.

“Dengan pelbagai komitmen dan hutang yang tertunggak, rata-rata begitu memerlukan pengeluaran buat kali terakhir untuk kelangsungan hidup, bahkan ada yang mahu memulakan perniagaan kecil-kecilan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, hakikatnya Perdana Menteri juga mengakui keperluan tersebut dan membaca setiap komen-komen di media sosial beliau yang memperlihatkan ramai memberikan maklum balas serupa mengenai isu i-Citra KWSP ini.

“Beliau menyatakan kepada saya untuk beliau berbincang dan membawa perkara ini kepada Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz agar dapat diperhalusi cadangan yang dikemukakan.

“Insya-Allah saya akan terus susuli dan ‘follow-up’ bagi pihak rakyat yang memerlukan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here