Warga emas maut dipukul rakan dengan batang cangkul

0
1

SEORANG warga emas maut selepas dihentak dengan batang kayu cangkul oleh rakannya dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Abi Tok Hashim, Kangar, malam tadi.

Difahamkan, mangsa diserang rakannya itu selepas didakwa enggan memberikan suspek duit dan rokok.

Kejadian jam 10 malam itu disedari adik mangsa selepas suasana di rumah mangsa tiba-tiba senyap.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew, berkata mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah serta tidak sedarkan diri di rumahnya.

“Mangsa, Yeen Baai, 72, maut di tempat kejadian selepas dipercayai dipukul dengan batang kayu cangkul.

“Suspek berusia 34 tahun itu dipercayai datang ke rumah mangsa dan berada dalam keadaan mabuk memberitahu adik mangsa untuk melihat sendiri keadaan mangsa yang sedang berlumuran darah di kepala.

“Sebaik memasuki rumah abangnya, adik mangsa terkejut melihat keadaan abangnya terbaring di hadapan pintu bilik tidur dalam keadaan hanya memakai kain tanpa baju dan terdapat kesan darah pada bahagian kepala mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang panik apabila melihatkan keadaan mangsa yang terbaring tidak sedarkan diri, terus berlari keluar dari rumah itu.

“Suspek yang juga seorang penganggur berasal Assam Kumbang, Taiping, Perak ditahan di rumahnya yang terletak tidak jauh dari rumah mangsa.

“Punca kejadian dipercayai disebabkan suspek cuba meminta duit dan rokok daripada mangsa.

“Suspek kerap datang ke rumah mangsa kerana ingin meminta rokok dan mangsa akan melayan suspek dengan membenarkannya masuk ke rumah untuk menghisap rokok bersama,” katanya.

Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek pernah dua kali dihukum kerana kes mendatangkan kecederaan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan lanjut di tempat kejadian menemui beg duit berwarna kelabu dipercayai milik mangsa berada di dalam laci bilik tidurnya.

“Pemeriksaan juga mendapati dompet mangsa tidak mempunyai wang, namun telefon bimbit mangsa didapati hilang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here