KENYATAAN hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengatakan tindakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukan bagi kepentingan nasional tetapi sebaliknya memalukan negara dilihat sebagai tidak wajar.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata pihak pembelaan akan membangkitkan perkara itu dalam prosiding rayuan di Mahkamah Persekutuan kelak.
“Penghakiman harus mempunyai kesan kandungan dan tidak sepatutnya mempunyai kesan bunyi. Saya rasa kenyataan itu (memalukan negara) adalah untuk mencapai kesan bunyi dan bukannya kesan kandungan.
“Kami akan merayu di Mahkamah Persekutuan selepas ini dan dalam proses itu saya harap mahkamah akan mendengar pandangan kami mengenai kenyataan itu.
“Ini kerana kenyataan itu adalah tidak wajar bagi penghakiman Mahkamah Rayuan,” katanya dalam sidang media secara maya, hari ini.
Najib yang turut serta dalam sidang media berkenaan menzahirkan rasa kecewa dengan kenyataan berkenaan.
Menurutnya, selama menjadi Perdana Menteri, aset negara berkembang daripada RM800 bilion kepada RM2 trilion.
“Saya cipta banyak kekayaan untuk negara ini,” katanya.
“Jika anda bercakap mengenai aib negara, ada skandal lain seperti skandal berkaitan forex (tukaran mata wang asing) yang menyebabkan negara kerugian RM31 bilion.
“Bukankah itu jauh lebih besar?” katanya yang merujuk kepada skandal yang melibatkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya, ketika menjadi Perdana Menteri beliau telah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung skandal berkenaan, namun setelah Pakatan Harapan (PH) memerintah ia diputuskan supaya tiada tindakan lanjut (NFA).
“Negara telah rugi RM31 bilion, namun diputuskan NFA. Ini yang saya ingin nyatakan sebagai perspektif (mengaibkan negara) yang betul,” katanya. – Malaysiapost

