KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) membantu menyuntik semangat usahawan wanita luar bandar yang terkesan akibat pandemik Covid-19, menerusi program USANITA.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid platform khas itu disediakan bagi membantu usahawan wanita luar bandar khususnya golongan B40 agar selari dengan arus perniagaan semasa berasaskan digital.
“Sebelum ini, dalam usaha memperkasakan usahawan di luar bandar, kementerian telah memperkenalkan program DesaMall@KPLB bagi membantu golongan berkenaan memasarkan produk secara dalam talian.
“Inisiatif itu adalah strategi di bawah Teras 2 Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) iaitu Keusahawanan Pemacu Pembangunan Ekonomi menerusi pernyataan dasar Membangun Produk dan Memperluas Pasaran Termasuk Pemasaran Perniagaan Dalam Talian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Perintis Usanita, Penjenamaan dan Pendigitalan Bersama KPLB, hari ini.
Mahdzir berkata, beliau mengambil serius perkembangan dan pembangunan usahawan luar bandar khususnya aspek pemasaran produk mereka secara dalam talian yang kini menjadi saluran sangat berkesan.
Katanya, usahawan luar bandar perlu mengambil peluang pemasaran secara digital dan tidak boleh ketinggalan dalam meluaskan pasaran produk mereka.
“Penjenamaan dan pemasaran secara digital bukan sahaja boleh dimanfaat dalam negara, malah melangkau pasaran seluruh dunia yang mampu dicapai menerusi platform atas talian.
“Penjenamaan itu amat penting untuk membina nilai percaya pembeli terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan, kadangkala orang membeli bukan kerana faktor jenama semata-mata, tetapi ingin mengguna dan memerlukan produk itu.
“Jadi di sinilah pentingnya penjenamaan dan pendigitalan produk usahawan walaupun mereka berada di luar bandar tetapi jualan produknya boleh menembusi pasaran satu dunia,” katanya.
Tambahnya, dalam fasa pemulihan kesan pandemik, sudah tiba masanya usahawan luar bandar bangkit dengan memperkasakan penjenamaan dan pendigitalan produk keluaran mereka sekali gus memulihkan ekonomi dan pendapatan.
Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut berkaitan Program USANITA – Penjenamaan dan Pendigitalan Bersama KPLB, boleh hubungi talian 03-41313041 atau layari laman sesawang www.usanita.com. – Malaysiapost

