
MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin mendakwa sekurang-kurangnya dua agensi berita silap melaporkan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dana digunakan untuk perolehan vaksin Covid-19 ketika Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjadi Perdana Menteri.
Menurutnya, perkara itu diketahui selepas pihak pejabatnya memperolehi transkrip penuh ucapan Muhyiddin ketika membuat kenyataan terbabit.
Beliau merujuk kepada laporan-laporan berita pada 1 Disember lalu tentang kenyataannya kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung perolehan vaksin Covid-19.
“Saya memberitahu bahawa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin telah tersilap cakap apabila mengatakan kerajaan membelanjakan lebih RM2 bilion daripada RM3 bilion bagi perolehan vaksin untuk 30 peratus penduduk negara ini.
“Dalam sesi penerangan itu, Pengerusi PAC Wong Kah Woh telah membangkitkan tentang laporan media yang memetik kenyataan Muhyiddin berhubung perkara itu.
“Namun selepas pejabat saya memperolehi transkrip penuh ucapannya, ternyata beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Khairy berkata, laporan media pada 13 Disember 2020 itu adalah tidak tepat, sekurang-kurangnya oleh dua agensi berita iaitu Berita Harian, Malaysia dan The Straits Times, Singapura.
“Bagaimanapun kesilapan itu tidak diperbetulkan dan boleh diakses sehingga ke hari ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengamal media untuk lebih berhati-hati dalam laporan mereka. – Malaysiapost
