KEBANGKITAN Barisan Nasional (BN) menuju kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak akan mampu disekat lagi, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Presiden Umno yakin, walaupun pelbagai tohmahan dilempar terhadap BN dan pemimpinnya, rakyat tidak lagi akan terpedaya.
“Mereka yang pernah menguasai pentadbiran kerajaan selama 22 bulan begitu bimbangkan kebangkitan BN. Sama ada mereka yang masih bersama dalam gabungan politik kerajaan singkat itu, mahupun yang telah menarik diri.
“Mereka yang menarik diri untuk menyelamatkan diri selepas mendapati gabungan politik berkenaan ditolak rakyat.
“Sehingga hari ini mereka bersama-sama meratib penuh ketakutan dan kekhuatiran melihat kebangkitan semula BN,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, pemimpin politik berkenaan kini begitu cemas dan gementar terhadap kebangkitan BN ekoran takutkan bayang-bayang sendiri, tambahan selepas kemenangan besar BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu.
“Mereka takut kepada segala keburukan, kejahatan dan penganiayaan yang pernah mereka lakukan terhadap BN. Menumbangkan kerajaan BN pada tahun 2018 dengan fitnah, pembohongan dan tipu daya.
“Melakukan ‘character assassination’ secara terancang ke atas pemimpin BN untuk menghasut kebencian rakyat. Menewaskan kerajaan BN dengan menabur begitu banyak janji-janji palsu kepada rakyat.
“Tidak cukup dengan itu menekan pemimpin BN yang masih setia kepada BN dengan sangat dahsyat apabila memperoleh kuasa,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, walau apa pun rancangan musuh BN dan pemimpinnya itu rakyat tidak akan percaya lagi.
“Dengan izin Tuhan Yang Maha Esa kebangkitan BN menuju kemenangan PRU-15 tidak akan mampu disekat.
“Insya-Allah BN akan kembalikan kemakmuran, kestabilan dan kesejahteraan yang amat dirindui rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

