Tony Pua angkuh, berlagak seperti seorang menteri – Tun M

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pemimpin DAP yang juga Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua disifatkan angkuh dan berlagak seperti seorang menteri oleh kumpulan ahli perniagaan.

Tindak tanduk Pua itu dilaporkan ketika berkhidmat sebagai setiausaha politik Lim Guan Eng yang menjadi Menteri Kewangan pada era kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dalam sidang media secara maya menjelang pelancaran memoir baharunya, Dr Mahathir berkata ahli perniagaan menolak pentadbiran PH sebelum ini berpunca daripada sikap sedemikian.

“Guan Eng berpendapat kerajaan (terdahulu) Najib Razak menyeleweng dan dia patut membatalkan semua kontrak yang dicapai dengan kerajaan terdahulu.

“Tapi apabila anda buat begitu, anda menjejaskan kontraktor, dan sesiapa saja yang mendapat kerja termasuk pekerja, pembekal dan syarikat-syarikat sokongan.

“Justeru kita tidak boleh buat begitu saja kepada kontraktor atau mengurangkan kontak secara paksa.

“Sebagai setiausaha politik, anda sepatutnya memberi laporan mengenai politik negara, bukan ke sana ke sini melaksanakan dasar kerajaan,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Mahathir beberapa ahli perniagaan telah mengadu kepadanya mengenai sikap “angkuh” Pua.

“Saya hanya memetik satu contoh (dalam buku baru itu), ada ahli perniagaan lain (termasuk) seorang Cina memberitahu saya bahawa dia (Pua) sangat angkuh. Itu perkataan yang mereka gunakan… dia berkelakuan seolah-olah menteri,” katanya.

Dr Mahathir menambah seorang setiausaha politik tidak sepatutnya mengancam komuniti perniagaan kerana ia menyebabkan ramai ahli perniagaan menentang kerajaan.

Sementara itu FMT melaporkan, Pua pula menyifatkan Dr Mahathir sebagai seorang yang “amat selektif mengenai ingatannya” selain cenderung mempercayai “kata-kata hartawan asing yang amat tidak jujur”.

“Amat malang beliau memilih untuk mempercayai kata-kata seorang hartawan asing yang amat tidak jujur, yang sebelum ini disabit kesalahan melakukan penipuan berbilion rupiah melibatkan Bank Bali 2009,” kata Setiausaha Publisiti DAP itu.

Pua dilaporkan merujuk kepada seorang hartawan Indonesia yang turut disabit atas kesalahan pemalsuan pada 2020 dan rasuah pada tahun ini dan kini menjalani hukuman penjara.

Mengulas lanjut Pua berkata tuduhan spesifik Mahathir itu merujuk kepada pembinaan bangunan Exchange 106 yang merangkumi projek kontroversi Tun Razak Exchange ketika Najib menjadi Perdana Menteri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here