Rayuan Najib tetap diputuskan esok

0
1

PROSIDING keputusan rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dijangka berjalan seperti dijadualkan di Mahkamah Rayuan Putrajaya, esok.

Menurut Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Rahman yang mengetuai panel tiga hakim, keputusan tersebut itu boleh dilakukan sama ada secara fizikal atau secara dalam talian, lapor Utusan Malaysia.

“Esok tetap esok, belum ada sebarang petunjuk untuk keputusan esok ditangguhkan. Esok pun mahkamah boleh beri keputusan secara online mengikut Seksyen 15 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964.

“Esok hanya untuk bacakan keputusan sahaja, bukannya untuk dengar hujahan. Hujahan dah selesai dan ditutup Mei lalu. Kalau seorang sahaja peguam hadir ke mahkamah pun tak apa,” tegas hakim itu.

Beliau berkata demikian selepas peguam Harvinder Singh Sidhu memohon prosiding pendengaran permohonan memasukkan bukti baharu hari ini dan keputusan rayuan Najib berhubung kes berkenaan esok ditangguhkan.

Peguam terbabit memohon penangguhan selepas seorang lagi peguam Najib didapati postif Covid-19 selepas menghadiri majlis Sabtu lalu dan saringan turut dilakukan kepada pasukan peguam Ahli Parlimen Pekan itu.

Bagaimanapun kesemua kontak rapat berkenaan termasuk peguambela utama Najib, Tan Sri Muhammad Sahfee Abdullah dilaporkan negatif.

Najib memfailkan notis rayuan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan rayuan didengar selama 15 hari bermula 5 April lalu di Mahkamah Rayuan.

Ketika memfailkan petisyen rayuannya, Najib mengemukakan 307 alasan kenapa beliau tidak patut didapati bersalah dalam kes itu.

Pada 27 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib dengan tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.

SRC International merupakan syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohd Nazlan kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadap bekas Presiden Umno itu.

Hukuman tersebut bagaimanapun dibenarkan untuk digantung sementara menunggu rayuan Najib diputuskan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here