KERAJAAN menarik semula arahan mewajibkan semua restoran dan kedai kopi mempunyai lesen untuk penjualan minuman beralkohol mulai tahun depan.
Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata perkara itu disahkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurutnya, Kementerian Kewangan juga sudah mengarahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membatalkan arahan itu kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
“Saya sendiri menghubungi Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz yang kini dalam lawatan kerja ke Singapura…Beliau mengesahkan Kementerian Kewangan telah membatalkan arahan itu.
“Beliau berjanji akan mengarahkan Jabatan Kastam mematuhi keputusan ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Terdahulu, kedai kopi dan restoran dilaporkan perlu memohon lesen alkohol, dengan bayaran antara RM840 dan RM1,320 setahun, jika mereka mahu terus menjual bir dan stout di premis mereka mulai 1 Januari depan.
Menurut mereka undang-undang di bawah Akta Eksais 1976 dan Peraturan-peraturan Eksais 1977 memang ada, namun ia hanya kini hendak dikuatkuasakan terhadap restoran dan kedai kopi. – Malaysiapost
Gambar sekadar hiasan.

