Kerajaan komited sediakan rumah Keluarga Malaysia

0
1

KERAJAAN menyasarkan 80,000 unit rumah disediakan dalam tempoh 10 tahun menerusi program Residensi Wilayah Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sehingga November lalu, sebanyak 62,836 unit rumah membabitkan 102 projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia telah mendapat kelulusan untuk pembinaan di Wilayah Persekutuan.  

“Daripada jumlah itu, sebanyak 95 projek terletak di Kuala Lumpur, tiga di Putrajaya dan empat di Labuan.

“Saya minta Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi-agensi di bawahnya memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai dengan kerjasama pemaju swasta kerana ini adalah penting untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama pemilik rumah Iskandar Dzulkarnain Yusof dan Siti Nurulain Mohd Bahiran selepas Majlis Penyerahan Kunci Residensi Kuchaimas hari ini.
Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Wilayah Keluarga Malaysia, Residensi Kuchaimas, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, Residensi Wilayah Keluarga Malaysia bertujuan merealisasikan impian warga Wilayah Persekutuan untuk memiliki kediaman sendiri dengan persekitaran yang selesa dan kondusif.

Beliau berkata, sejajar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda 2030, kerajaan komited menyediakan perumahan mampu milik kepada semua golongan Keluarga Malaysia termasuk warga berpendapatan sederhana rendah atau M40.  

“Melalui inisiatif Residensi Wilayah Keluarga Malaysia ini, tumpuan adalah di kawasan pesat membangun walaupun terpaksa berhadapan dengan cabaran nilai hartanah yang semakin tinggi,” katanya.

Bercakap mengenai Residensi Kuchaimas, Ismail Sabri berkata, ianya menggambarkan keterangkuman Keluarga Malaysia dengan 60.3 peratus kaum Bumiputera, 37.4 peratus kaum Cina dan 2.3 peratus kaum India.  

“Sudah tentu, dengan keselesaan ini masyarakat berbilang kaum dalam Keluarga Malaysia dapat hidup dalam suasana harmoni dan bersatu padu.  

“Saya yakin komuniti Residensi Kuchaimas akan meraikan persamaan dan perbezaan berdasarkan nilai-nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia,” katanya.

Residensi Kuchaimas merupakan salah satu projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia yang dibina di atas tanah berkeluasan 1.58 ekar.  

Blok bangunan berketinggian 49 tingkat ini, menyediakan 478 unit kediaman pada harga RM198,000 setiap unit dengan keluasan 800 kaki persegi, tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu petak tempat letak kereta berbumbung.

Residensi Kuchaimas turut menawarkan pelbagai kemudahan komuniti seperti ruang taska, tempat rekreasi, bilik permainan, ruang kedai, surau serta berhampiran dengan sekolah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here