KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil beberapa tindakan pengukuhan dan pengawalan baharu bagi pengembara dari luar negara dalam usaha membendung penularan varian Omicron ke dalam negara.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata sehingga semalam, sebanyak 43 negara telah melaporkan kes Covid-19 jangkitan varian baharu Omicron.
Beliau berkata, daripada 43 negara berkenaan, lapan negara telah dikenakan sekatan perjalanan sementara bermula 27 November lalu dan lima negara lain telah melaporkan penularan varian Omicron dalam komuniti.
“Sehubungan itu, bagi mencegah kemasukan dan penularan varian ini di Malaysia, KKM ingin memaklumkan tindakan pengukuhan kepada langkah-langkah pencegahan dan kawalan sedia ada ke atas pengembara yang tiba di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Khairy berkata, tindakan itu membabitkan enam kategori iaitu Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) udara; VTL darat; Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dan One Stop Centre (OSC) untuk pelawat perniagaan jangka pendek.
Menurutnya, dua lagi kategori adalah membabitkan pengembara dari negara-negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara; dan pengembara dari negara yang melaporkan penularan varian baharu Omicron dalam komuniti.
“Bagi pengembara di bawah kategori 1 hingga 4, tindakan pengukuhan yang diambil adalah pengembara mestilah lengkap divaksinasi; ujian PCR dua hari sebelum berlepas ke Malaysia dan ujian pengesanan Covid-19 semasa ketibaan di Malaysia.
“Selain itu, ujian RTK-Ag (kendiri) dilakukan pada hari kedua, keempat, dan keenam selepas tiba serta RTK-Ag (profesional) pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan dengan semua keputusan dilaporkan melalui MySejahtera,” katanya.
Beliau berkata, bagi pengembara dari negara dikenakan sekatan tindakan pengukuhan diambil adalah ujian PCR Covid-19 mesti dilakukan dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Malaysia.
“Pemakaian peranti pengesanan digital sepanjang tempoh kuarantin wajib; kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi dengan prosedur kuarantin mengikut prosedur sedia ada.
“Negara melaporkan penularan varian Omicron dalam komuniti pula, ujian PCR mesti dilakukan dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Malaysia dan pemakaian peranti pengesanan digital sepanjang kuarantin.
“Tempoh kuarantin kategori ini bergantung kepada status vaksinasi dan prosedur sedia ada yang diumumkan sebelum ini masih berkuatkuasa,” katanya.
Khairy berkata, keperluan tindakan pengukuhan dan pengawalan berkenaan berkuatkuasa mulai esok serta akan disemak dari semasa ke semasa. – Malaysiapost

