Penularan Omicron, rakyat diingat terus patuhi SOP – Noor Hisham

0
1

TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mendapatkan vaksinasi lengkap dan dos penggalak, berikutan kemunculan varian baharu Covid-19, Omicron, yang disifatkan lebih cepat menular.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, penularan wabak itu kini sedang berlaku di Eropah dan United Kingdom, sekali gus menyebabkan kes jangkitan Covid-19 di negara berkenaan kembali meningkat.

“Kes Covid-19 sedang meningkat di Eropah dan UK. Tambahan pula varian baru Omicron sudah dikesan menular dengan cepat.

“Sebaik-baiknya kita semua patuh kepada SOP dan dapatkan vaksinisasi lengkap serta dos penggalak. Peperangan dgn Covid-19 belum tamat,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan orang ramai untuk terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan jangkitan Covid-19 iaitu, amalkan 3W dan elakkan 3C/3S pada setiap masa di mana jua anda berada.

“Kita perlu kekal memerangi wabak Covid-19 dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara,” katanya.

Media melaporkan, puluhan kes baharu jangkitan Covid-19 varian Omicron dilaporkan di Britain dan Denmark, sekali gus meningkatkan kebimbangan di serata Eropah bahawa virus itu makin menular.

Varian itu merebak ke sekurang-kurangnya ke 45 negara di serata dunia, dengan Amerika Syarikat dan sebahagian besar Eropah melaporkan beberapa kes baharu sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Kelmarin, agensi keselamatan kesihatan Britain mengesahkan penambahan 86 kes dari varian Omicron, menjadikan keseluruhan 246 kes sementara pihak berkuasa Denmark melaporkan 183 kes varian berkenaan.

Kerajaan Britain kini menghendaki pengembara yang ingin memasuki UK mengemukakan keputusan saringan Covid-19 negatif sebelum berlepas, sebagai langkah pencegahan susulan kebimbangan terhadap penularan varian Omicron. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here