SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima 349 kertas penamaan calon yang layak bertanding bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata jumlah 349 calon mewakili pelbagai parti tersebut diperoleh selepas tempoh penamaan calon di 82 Pusat Penamaan Calon (PPC) ditutup pada jam 10 pagi.
“Gabungan Parti Sarawak (GPS) seramai 82 calon, Parti Bumi Kenyalang (PBK) 73 calon, Parti Sarawak Bersatu (PSB) 70 calon, PKR 28 calon, DAP 26 calon.
“Seterusnya Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) 15 calon, Parti Bangsa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) 11 calon, Amanah lapan calon, Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) lima calon, PAS satu calon, dan BEBAS 30 calon,” katanya dalam kenyataan.
Abdul Ghani berkata, sepanjang penamaan calon hari ini terdapat dua penamaan telah ditolak daripada calon PBK di Dewan Undangan Negeri Jemoreng, dan calon BEBAS di DUN Senadin.
Menurutnya, calon lelaki yang bertanding bagi PRN kali ini seramai 304 orang, dan wanita 45 orang.
PRN kali ini juga menyaksikan pertembungan sehingga lapan penjuru di satu DUN, manakala 33 DUN akan bertanding empat penjuru, dan 24 DUN menyaksikan pertandingan lima penjuru.
“Calon tertua berumur 79 tahun daripada PSB yang bertanding di DUN Bawang Assan dan calon termuda berumur 24 tahun dari PBK di DUN Nangka,” katanya.
Beliau berkata, tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga 17 Disember jam 11.59 malam.
SPR sebelum ini menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Sarawak pada 18 Disember. – Malaysiapost

