PKR hanya bertanding 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, kali ini dan keputusan itu dibuat atas dasar strategik.
Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak dan Pimpinan PKR dalam satu kenyataan, memaklumkan keputusan itu adalah bagi mengelakkan pertembungan kerusi tiga penjuru, selain isu logistik dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Pihak pimpinan ingin mengucapkan tahniah kepada kesemua 28 calon yang akan berjuang di bawah bendera PKR pada PRN Sarawak kali ini.
“Kami turut memahami rasa kecewa di beberapa kawasan yang tidak ditandingi pada kali ini, namun keputusan telah diambil oleh parti di atas dasar strategik.
“Kami sedia maklum bahawa kempen melalui talian sangat sukar di kebanyakan kerusi luar bandar oleh kerana liputan jaringan internet yang tidak memuaskan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Pimpinan PKR bagaimanapun berharap bahawa semua ahli parti dan penyokong akan terus memberi kerjasama penuh kepada 28 orang calon untuk meraih kemenangan dan menolak Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan masing-masing.
Menurut PKR, manifesto kali ini adalah ‘Makmur Bersama Kadalian’ dan aspirasi PKR adalah untuk ‘Mengangkat Martabat Sarawak, Menjulang Taraf Rakyat’.
“Sarawak cukup kaya dengan sejarah yang ulung, kepelbagaian kaum, budaya, agama dan sumber alam yang luar biasa.
“PKR akan terus memperjuangkan aspirasi rakyat untuk memastikan mempunyai akses kepada sistem kesihatan yang lebih baik, peluang pekerjaan yang mantap dan infrastruktur asas seperti air, elektrik, internet dan jalan raya yang selamat.
“PKR akan berusaha untuk memastikan pengembalian status Sabah dan Sarawak berteraskan perjanjian Malaysia 1963, selari dengan aspirasi majoriti besar rakyat Sarawak untuk menuntut keadilan untuk Sarawak,” katanya.
Menurutnya, PKR akan membawa reformasi dan transformasi yang menyeluruh demi memastikan kemajuan dan kemakmuran dikongsi bersama semua rakyat Sarawak. – Malaysiapost

