RAKYAT dan negara ini perlu membayar harga yang mahal apabila bertolak ansur dengan rasuah dalam masyarakat, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir berkata dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Barisan Nasional (BN) memenanginya dengan majoriti dua pertiga sedangkan ia parti yang ditolak pengundi pada 2018, kerana pemimpinnya rasuah dan mencuri wang kerajaan berbilion ringgit.
Kata Ahli Parlimen Langkawi itu, pemimpin yang disabitkan kesalahan sama mengetuai kempen dalam PRN Melaka.
“Dia masih menghadapi lebih banyak pertuduhan di mahkamah hari ini. Namun partinya menang dengan majoriti besar. Apa yang boleh kita katakan tentang pengundi Melaka yang menyampaikan keputusan ini?
“Mungkinkah mereka sudah lupa jenayah yang dilakukan oleh Najib (Razak). Atau adakah mereka telah memaafkannya.
“Atau adakah kerana mereka percaya dakwaannya bahawa dia tidak bersalah. Atau adakah pengundi tidak ambil peduli; bahawa pada mereka rasuah boleh diterima kerana mendapat sesuatu untuk diri mereka daripada pemimpin yang korup ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata bagi pengundi Melaka rasuah dan juga mencuri wang nampaknya tidak mengapa, lebih-lebih lagi setelah sekian lama berlalu sehingga pemimpin yang korup harus tetap disokong.
Dengan pemikiran itu, katanya mereka berkemungkinan akan membawa kembali pemimpin yang korup pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Apakah jenis negara Malaysia apabila ahli politik yang korup memerintah negara? Ingat betapa Malaysia dihormati sebelum Najib. Ia dikenali sebagai Harimau Asia. Ia dianggap sebagai model oleh banyak negara.
“Di bawah pemimpin yang korup Malaysia dilabelkan sebagai kleptokrasi, sebuah negara yang dipimpin oleh pencuri.
“Tidak mungkin kleptokrat akan berubah. Prinsipnya tetap “Cash is King”. Wang kerajaan masih akan dicuri,” katanya.
Ahli Parlimen Langkawi itu menambah, jika sebelum ini Harimau Asia boleh diturunkan dan digantikan dengan kleptokrasi, kali ini boleh jadi lebih teruk.
“Ingatlah kleptokrat itu tidak menunjukkan sebarang penyesalan di atas kecurian, rasuah dan salah guna kuasa walaupun dia didapati bersalah.
“Tanpa penyesalan dia tidak akan mengubah caranya. Jika sama sekali dia akan menjadi lebih teruk kerana, walaupun didakwa dan didapati bersalah dia adalah seorang yang bebas. Sesungguhnya dia dipandang baik dan dilayan dengan penuh hormat.
“Atas semua jenayahnya, kerajaan masih memberi ganjaran RM100 juta kepadanya. Jadi mengapa dia harus berhenti rasuah dan berhenti mencuri wang, kerana dia akan tetap dihormati dan diberi ganjaran,” katanya.
Dr Mahathir berkata jika pemimpin tersebut atau rakan-rakannya memimpin kerajaan masa depan, mereka akan terus merosakkan semua orang termasuk jentera pentadbiran.
Malaysia katanya, akan menjadi negara yang benar-benar korup yang tiada siapa yang akan melabur atau melawat.
“Tanpa pelaburan, tiada pekerjaan akan diwujudkan untuk menampung beribu-ribu graduan yang dihasilkan setiap tahun dan orang lain yang tidak layak akan kekal menganggur.
“Perniagaan, besar dan kecil akan gagal. Negara akan mengalami kemurungan. Ia akan menjadi sebuah negara yang gagal.
“Itulah harga yang perlu kita bayar apabila kita bertolak ansur dengan rasuah dalam masyarakat kita,” katanya lagi. – Malaysiapost

