Di sebalik kritikan, rakyat masih harap Tengku Zafrul lulus pengeluaran KWSP

0
1

DI SEBALIK kritikan pakar ekonomi berhubung prestasi 100 hari Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, rata-rata rakyat masih berharap Menteri Kewangan itu meluluskan pengeluaran terakhir Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Ramai pakar ekonomi mengkritik prestasi 100 hari Menteri Kewangan yang hakikatnya antara personaliti dikekalkan daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang lepas.

“Rata-rata rakyat marhain pula masih meletakkan harapan tinggi agar Menteri Kewangan dapat mendengar keluhan mereka untuk dilululuskan pengeluaran kali terakhir KWSP i-Citra RM10k.

“Ini demi kelangsungan hidup mereka untuk memulakan penghidupan baharu pasca pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang rata-rata terbelenggu dengan pelbagai komitmen tertunggak, hutang dan lain-lain.

“YB Pekan Datuk Seri Najib Razak turut menyuarakan dalam Parlimen termasuk solusi untuk menampung kembali simpanan yang dikeluarkan pencarum,” kata Ketua Pemuda Umno itu menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Asyraf Wajdi turut berkongsi satu tangkap layar laporan portal berita mengenai pakar ekonomi yang tidak tertarik dengan prestasi Tengku Zafrul.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi berharap Tengku Zafrul dapat pertimbangkan dengan serius tuntutan rakyat dalam isu KWSP.

“Bagaimana rakyat menilai prestasi Menteri Kewangan ini selepas masuk 100 hari?,” soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here