Idris jamin beri perhatian isu foodriders

0
1
https://www.facebook.com/photo/?fbid=240298871471763&set=pb.100064749544314.-2207520000..

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan akan memberi perhatian terhadap pelbagai isu dibangkitkan golongan penghantaran makanan atau foodriders yang mendakwa ditindas syarikat penghantaran makanan.

Senator Idris Ahmad memaklumkan beliau telah dihubungi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan isu-isu melibatkan golongan anak muda tersebut.

“Saya dihubungi sahabat-sahabat dalam NGO berkenaan beberapa isu berat yang melibatkan anak muda dan nasib-nasib para foodriders yang perlu diberi perhatian segera.

“Saya telah menghubungi beberapa menteri Kabinet yang berkaitan dengan perkara ini, dan saya akan cuba dapatkan kemaskini isu yang perlu diberi perhatian segera,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu Ketua Belia Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Nor Aizat Rahimi dilaporkan berkata, syarikat penghantaran makanan atau penyelia p-hailing perlu diselia dan dipantau ketat oleh agensi kerajaan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu bertanggungjawab mewujudkan polisi dan regulasi terhadap syarikat p-hailing supaya tiada lagi sesuka hati menindas golongan ‘rider’.

Katanya lagi, penghantar makanan perlu diiktiraf status sebagai pekerja selain mendapat hak seperti industri lain termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso dan insurans.

Sebelum ini, penghantar makanan beragama Islam mendakwa, mereka berisiko menghadapi kejatuhan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sekiranya berhenti untuk menunaikan solat serta menolak mengambil pesanan berasaskan babi.

Malah, mereka juga berdepan pelbagai isu lain yang menggugat pendapatan seperti kadar upah dipotong sesuka hati oleh kerana sistem yang tidak dikawal. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here