SEMUA 114 pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Seri Puteri Cyberjaya yang positif Covid-19 berada dalam keadaan baik dan stabil.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata semua pelajar berkenaan sedang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Justeru, beliau menasihatkan ibu bapa kepada semua pelajar terbabit agar tidak bimbang kerana anak-anak mereka dijaga dengan baik di pusat kuarantin itu.
“Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana makanan di sini cukup. Cuma amalan (ibu bapa) menghantar makanan kepada anak-anak tiap-tiap minggu (seperti ketika anak mereka di asrama) tidak boleh di MAEPS kerana takut ada unsur keracunan makanan,” katanya, lapor FMT, hari ini.
Pada 1 Disember lalu, 65 pelajar SBP Seri Puteri Cyberjaya dihantar ke MAEPS manakala 49 orang lagi dihantar pada keesokan harinya kerana positif Covid-19 kategori satu dan dua untuk menjalani kuarantin. – Malaysiapost

