PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan pemergian Tan Sri Sabbaruddin Chik malam tadi, merupakan satu kehilangan besar kepada negara.
Ahmad Zahid berkata, Allahyarham Sabbaruddin yang juga bekas Setiausaha Agung Umno merupakan tokoh politik serta korporat yang disegani dan banyak berjasa kepada negara.
“Sedih menerima perkhabaran bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Sabbaruddin Chik meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Beliau yang juga bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dilaporkan meninggal dunia pada usia 80 tahun.
“Malaysia telah kehilangan seorang tokoh politik serta tokoh korporat yang disegani dan banyak jasanya kepada negara,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Sabbaruddin dan mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan yang soleh.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang cukup banyak berbakti kepada rakyat, negara dan Umno.
“Mewakili Pergerakan Pemuda Umno, saya ingin merakamkan ucapan takziah buat keluarga Tan Sri Sabbaruddin Chik, Semoga Allah merahmati pejuangan Allahyarham,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Sabbaruddin meninggal dunia akibat Covid-19 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), malam tadi. – Malaysiapost

