PEMBINAAN Lapangan Terbang Baharu Mukah di Sarawak akan merancakkan peluang ekonomi yang dapat memberi impak berganda dan berangkai kepada penduduk di kawasan itu serta Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tambahan pula lapangan terbang tersebut bakal menyediakan sokongan bagi aktiviti-aktiviti di koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang bakal mewujudkan jaringan ekonomi yang lebih efektif dan efisyen kelak.
“Saya dimaklumkan bahawa lapangan terbang baharu ini dilengkapi dengan kemudahan bangunan terminal baharu, landasan sepanjang 1,500 meter yang boleh digunakan oleh pesawat jenis ATR berkemampuan membawa penumpang lebih ramai berbanding hanya pesawat Twin Otter sebelum ini.
“Dengan status yang telah ditambah baik, Lapangan Terbang Baharu Mukah kini boleh mengendalikan lebih banyak penumpang yang akan mengukuhkan kedudukan Mukah sebagai penyumbang kepada pembangunan ekonomi Sarawak,” katanya dalam majlis perasmian Lapangan Terbang Baharu Mukah, hari ini.
Ismail Sabri berkata, selain menyediakan kemudahan lapangan terbang yang selesa dan moden, kerajaan juga memastikan kesiagaan dan kemampuan Sistem Pengurusan Trafik Udara sentiasa dinaik taraf dan mampu menampung keperluan peningkatan pergerakan pesawat di ruang udara
Menurutnya, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) di bawah Kementerian Pengangkutan telah dipertanggungjawab dalam memastikan kemampuan Sistem Pengurusan Trafik Udara bergerak seiring dengan permodenan dan peningkatan aliran trafik pesawat udara.
Jelas beliau, komponen Sistem Pengurusan Trafik Udara meliputi sistem radar pemantauan udara, sistem navigasi penerbangan, sistem komunikasi radio dan sistem automasi pengawal trafik udara.
”Di bawah program Rancangan Malaysia Ke-12, Kerajaan telah meluluskan projek menaik taraf Sistem Pengurusan Trafik Udara dengan nilai keseluruhan projek sebanyak RM19.4 juta ringgit.
”Projek permodenan ruang pengurusan udara Kuala Lumpur berjaya disiapkan dengan pelancaran kompleks Kuala Lumpur Air Traffic Control Center (KL ATCC) pada 1 Disember yang lalu manakala projek permodenan peralatan di ruang udara Kota Kinabalu yang merangkumi negeri Sabah dan Sarawak dijadual siap pada 10 Disember 2021,” katanya.
Katanya, projek permodenan peralatan ruang udara di Sabah dan Sarawak merangkumi penggantian peralatan radar, navigasi dan komunikasi radio beserta dengan penggantian sistem automasi pengawal trafik udara yang canggih dan terkini. – Malaysiapost

