‘Segera selesaikan isu Kampung Baru, pertahan hartanah Melayu di KL’ – Khairuddin

0
1

KERAJAAN digesa segera menyelesaikan isu Kampung Baru demi mempertahankan hartanah orang Melayu di Wilayah Persekutuan.

Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, berkata sejak 2010 kerajaan telah berbelanja jutaan ringgit untuk melakarkan Pelan Induk pembangunan Kampung Baru.

Namun, katanya, sehingga kini daya-usaha kearah membangunkan tanah milik orang Melayu di tengah ibu kota Kuala Lumpur secara sistematik dan memanfaatkan hak penduduk asal tidak dapat direalisasikan.

“Ini kerana kerajaan tidak mempunyai iltizam serta ‘political will’ bagi mencapai perancangan yang boleh menjaminkan tanah orang-orang Melayu terus terbela di Kuala Lumpur.

“Pada hari ini warga penduduk Kampung Baru tampil memprotes mengenai pengambilan tanah di Sungai Baru khususnya dalam isu jumlah pampasan yang terlalu rendah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, secara purata mereka bakal dibayar dengan jumlah RM200,000 yang didapati tidak munasabah dibandingkan dengan harga pasaran.

Katanya, lebih kurang 37 rumah teres dan 264 unit penduduk di rumah pangsa di Sungai Baru, Kampung Baru akan terkesan dengan kes pengambilan tanah ini.

“Kita sudah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengan pihak pentadbir Malay Agricultural Settlement (MAS) dan persatuan penduduk Kampung Baru sebagai tanda komitmen membantu seluruh warga penduduk Kampong Bharu.

“Insya-Allah, satu perjumpaan di antara MAS serta persatuan penduduk Kampung Baru dengan Tun Dr Mahathir Mohamad akan diadakan dalam masa terdekat.

“Ini adalah untuk mencari satu formula penyelesaian yang terbaik mungkin untuk mempertahankan kepentingan hartanah orang-orang Melayu di bandaraya Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, Pejuang akan terus membela dan membantu warga penduduk Kampung Baru mempertahankan hak-hak mereka.

“Kerajaan harus menangani permasalahan asas terlebih dahulu demi menjaminkan kejayaan perancangan pembangunan Kampung Baru.

“Masalah pemilikan tanah bukan satu masalah yang mudah untuk diselesaikan. Masalah pemilikan tanah di Kampung Baru amat kompleks jika tidak ditangani secara bersungguh-sungguh,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here