KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) membantah pelaksanaaan ujian saringan Covid-19 kepada murid sekolah rendah pada setiap Rabu, bermula 1 Disember lalu.
Setiausaha Agung NUTP, Wang Heng Suan dalam kenyataan berkata pihaknya menerima rungutan para guru yang memaklumkan bahawa tindakan itu amat berbahaya dan mendatangkan risiko tinggi kepada mereka.
“Ini kerana guru tidak diberi sebarang perlindungan seperti peralatan perlindungan diri (PPE), sarung tangan, pelindung muka dan sebagainya, manakala murid pula tidak mampu untuk menjalankan sendiri ujian tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, NUTP mencadangkan ujian saringan Covid-19 kepada murid itu dijalankan sendiri oleh ibu bapa di rumah.
Katanya, sehari sebelum ujian, pihak sekolah boleh memaklumkan kepada ibu bapa murid yang terpilih untuk menjalankan ujian saringan di rumah dan dibekalkan kit ujian kendiri.
“Ibu bapa kemudian mengemukakan keputusan ujian dengan memuat naik gambar berkenaan kepada guru kelas masing-masing.
“Jika keputusan negatif, murid boleh hadir ke sekolah pada hari tersebut, tetapi jika sebaliknya murid perlu dikuarantin di rumah,” katanya.
Menurutnya, cara tersebut dapat mengelak penularan jangkitan kepada guru dan warga sekolah sehingga sekolah perlu ditutup jika ada murid positif Covid-19.
Justeru beliau berkata, NUTP amat berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dapat mengubah prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan dan kesihatan murid, guru serta warga sekolah lain.
Sabtu lalu, KPM memaklumkan, pihaknya telah menetapkan pelaksanaan 10 peratus sampel saringan Covid-19 secara mingguan dengan kaedah penggiliran, selaras Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurut KPM, pelaksanaan saringan bergilir untuk murid itu perlu dilaksanakan setiap Rabu, pada hari persekolahan dan membekalkan kit ujian kendiri Covid-19 ke sekolah rendah. – Malaysiapost

