MTN setuju RUU Perhutanan Negara

0
1

MAJLIS Tanah Negara (MTN) Ke-79 hari ini bersetuju dengan Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 bagi Seksyen 11 dan 12 yang diluluskan Jabatan Peguam Negara pada 3 Disember 2020 dan Jemaah Menteri pada 6 Januari 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata MTN juga bersetuju supaya RUU itu dibentangkan di Parlimen pada sesi pertama pada tahun 2022.

“Dalam konteks ini pemakaian Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 hanya akan terpakai di negeri-negeri setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) meminda Enakmen Perhutanan (Pemakaian)
masing-masing,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu beliau mempengerusikan MTN ke-79 secara persidangan video yang turut disertai Menteri-Menteri Kanan serta Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan yang berkaitan bersama Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri atau wakil.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata MTN bersetuju dengan Tindakan Penguatkuasaan dan Penyelesaian Terhadap Penerokaan Haram dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia.

“Ia supaya semua kerajaan negeri melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan penyelesaian terhadap penerokaan haram di setiap negeri selewat-lewatnya pada 1 Jun 2022,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, MTN bersetuju secara prinsip dengan pelaksanaan Moratorium Kelulusan Baharu Penubuhan Ladang Hutan dalam HSK di Semenanjung Malaysia selama 15 tahun.

“Dalam hal ini, MTN Ke-79 mengambil perhatian terdapat 127,050.25 hektar Zon Pembangunan Ladang Hutan dalam HSK yang belum diluluskan kepada mana-mana syarikat.

“Oleh yang demikian, sebelum moratorium dikenakan ke atas kawasan tersebut, kerajaan negeri yang ingin meneruskan pembangunan ladang hutan perlu melaksanakan perundingan terperinci dengan KeTSA bagi memastikan syarikat mematuhi syarat ditetapkan dalam perjanjian konsesi serta lain-lain perundangan yang berkuatkuasa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here