HANYA dua kenderaan disahkan terbabit dalam insiden tanah runtuh di Seksyen 27, KM39 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands) semalam.
Sebelum ini tiga kenderaan dikatakan tertimbus dalam runtuhan itu iaitu masing-masing sebuah lori, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah kereta.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, setakat pagi ini hanya dua kenderaan dikenal pasti iaitu lori dan MPV.
Bagaimanapun katanya, operasi masih diteruskan dengan pembersihan laluan bagi memastikan tiada lagi kenderaan mahupun mangsa terbabit.
Sehingga ini, mangsa yang maut dalam insiden itu ialah pemandu lori, Muhamad Hafiz Hamdi, 31, dan pemandu MPV, Tan Chee Heng, 36.
“Mayat Muhamad Hafiz dijumpai jam 10.46 malam, sementara mayat Chee Heng dijumpai pada jam 9.54 malam tadi.
“Maklumat terkini, hanya terdapat dua kenderaan terperangkap iaitu lori dan MPV,” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan menggunakan jentera berat seperti jengkaut selain kepakaran Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM, Unit Anjing Pengesan K9 dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
Operasi melibatkan seramai 139 anggota termasuk dari lain-lain agensi.
Kejadian tanah runtuh itu menyebabkan laluan di kedua-dua arah ditutup kepada semua aliran kenderaan. – Malaysiapost
Kredit Foto: Ihsan Bomba

