Nurul Huda Abhar
SELEPAS ditagih janjinya untuk ‘berbogel’, seorang lelaki dalam video tular tampil memohon maaf atas tindakannya berjanji perkara yang tidak masuk akal jika Johor Darul Ta’zim (JDT) tewas dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.
Menerusi aplikasi TikTok, lelaki tersebut memuat naik video terbaharu dan ‘menukar’ janjinya sebelum ini dengan bernazar untuk memberikan tinted atau lapisan filem gelap di sebuah surau yang tidak dinyatakan lokasinya.
“Dengan rendah diri saya ingin memohon maaf pada seluruh rakyat Malaysia disebabkan video saya tular baru-baru ini.
“Saya berjanji tidak akan mengulangi lagi dan saya bernazar untuk memberikan tinted percuma kepada surau ini.
“Saya harap rakyat Malaysia dapat memaafkan saya,” katanya dalam video itu.
Sebelum ini, tular video lelaki tersebut yang memakai kemeja-T berwarna kuning berjanji akan berbogel dari ibu negara ke Johor jika JDT ditewaskan oleh Kuala Lumpur City (KL City) dalam perlawanan Selasa lalu.
Tindakan beliau berjanji seperti itu menjerat diri apabila pengguna media sosial menuntut janjinya setelah KL City dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia menundukkan JDT 2-0. – Malaysiapost

