KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan kempen yang lebih agresif bagi memastikan mereka yang layak menerima vaksin Covid-19 segera melengkapkan suntikan dos masing-masing.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata, KKM akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga agensi lain untuk memastikan individu yang belum lagi divaksinasi menerima suntikan.
“Kita akan bekerjasama dengan agensi ini untuk memastikan dalam kalangan pekerja asing yang mungkin kerisauan belum mendapatkan vaksinasi. Ini termasuk juga rakyat kita, ada yang masih belum divaksinasi.
“Jadi kita akan buat kempen yang lebih agresif untuk memudahkan mereka mendapat vaksinasi dos pertama dan kedua,” katanya pada sidang media khas hari ini.
Khairy berkata demikian bagi mengulas isu kira-kira 1.3 juta populasi dewasa masih belum divaksinasi.
Beliau berkata, pihaknya juga akan memperhebatkan lagi pemberian dos penggalak melalui penambahan kapasiti sepertimana diumumkan beberapa hari lalu.
“Kita juga akan terus melaksanakan kempen-kempen kesedaran bagi memastikan rakyat tahu betapa pentingnya mereka mendapatkan dos penggalak.
“Minggu depan kita juga akan berbincang dan sekiranya ada keperluan, mungkin saya akan buat pengumuman dari segi status vaksinasi penuh. Mungkin untuk golongan tertentu sahaja,” katanya. – Malaysiapost

