Nagaenthran terima proses sewajarnya mengikut undang-undang.

0
1

WARGA Malaysia, K D Nagaenthran yang dijatuhi hukuman mati di Singapura atas kesalahan menyeludup dadah di negara jiran terbabit, telah menerima proses perundangan sewajarnya.

Perkara itu dinyatakan oleh Presiden Singapura Halimah Yacob dalam menjawab surat diutuskan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang memohon hukuman Nagaentran diringankan.

Kenyataan itu dikeluarkan Kementerian Luar Singapura (MFA), menjawab pertanyaan media mengenai surat rayuan daripada pemimpin Malaysia terhadap hukuman diterima Nagaenthran.

“Sebagai jawapan kepada pertanyaan media, Jurucakap MFA berkata: Presiden Halimah Yacob telah menjawab kepada Yang di-Pertuan Agong Malaysia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bahawa Nagaenthran telah menerima proses wajar sepenuhnya mengikut undang-undang,” menurut kenyataan dikeluarkan di laman web MFA, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, sebelum ini turut mengutus surat kepada rakan sejawat di Singapura, meminta budi bicara memberikan Pengampunan Presiden kepada Nagaenthran.

Dilaporkan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Menteri Hal Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan juga telah membalas surat rakan sejawatan dari Malaysia.

Nagaenthran, 33, ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009, kerana menyeludup 42.72 gram dadah jenis diamorphine dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010.

Hukuman mati itu dijadualkan 10 November lalu, namun ditangguhkan susulan Nagaenthran disahkan positif Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here