BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa kenaikan harga barang yang berlaku ketika ini berpunca daripada dasar-dasar yang diputuskan kerajaan beberapa bulan dahulu.
Beliau berkata, kerajaan terdahulu terlepas pandang trend melonjak Indeks Harga Pengeluar (IPHR) yang berlaku sejak Mac lalu, selain tidak menyelesaikan punca-punca kenaikan harga barang pada masa itu.
“Tapi syukur juga bahawa PM8 (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang juga pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) akhirnya faham semalam bahawa IPHR sudah melonjak naik pada September 2021.
“Seperti dia (Muhyiddin) kata, kenaikan IPHR akan menyebabkan pengingkatan inflasi untuk beberapa bulan akan datang.Nasi sudah menjadi bubur,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Najib menyenaraikan 10 punca kenaikan harga barang yang berlaku ketika ini, termasuk faktor kenaikan kos komiditi seluruh dunia susulan lockdown sejak 2020 yang mengurangkan pengeluaran.
Selain itu, katanya, ‘lockdown separuh masak’ yang dilaksanakan kerajaan terdahulu yang begitu lama, menyebabkan sebilangan pengeluar tidak lagi mampu bertahan untuk tutup operasi dan ini menurunkan kapasiti bekalan.
“Penarikan semula rebat elektrik secara keseluruhan dan tidak secara berperingkat seperti dicadang saya.
“Kenaikan kos bahan api berbanding tahun lepas. Saya telah memberi amaran ini pada bulan Mac 2020 sebelum PKP 1.0 bermula dan harga minyak dunia turun menjadi negatif.
“Masa itu saya cadangkan harga lantai (bukan harga siling) dikenakan agar inflasi tidak menjadi masalah besar pada tahun kemudiannya apabila harga minyak naik semula tetapi tidak diendah kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata, kekurangan pekerja di seluruh rantaian bekalan selepas ramai pekerja asing pulang dan larangan kemasukan pekerja asing yang masih dikuat kuasakan sehingga kini, menjadi punca kenaikan kos pengeluaran.
“Harga kawalan yang dikenakan kerajaan pada April dan Mei yang sebenarnya lebih rendah berbanding kos pengeluaran yang meningkat tinggi mengakibatkan ramai pengeluar tutup operasi atau mengurangkan kapasiti yang kini menyebabkan kekurangan bekalan
“Siapa nak beroperasi sekiranya dipaksa jual pada harga lebih rendah berbanding kos pengeluaran?,” katanya.
Mengulas lanjut, Najib berkata, nilai ringgit menjunam dari AS$1 kepada RM4 ke AS$1 kepada RM4.23 sejak permulaan tahun ini akibat prestasi ekonomi negara menjadi antara paling buruk di ASEAN bagi tahun ini dan tahun lepas.
Katanya, pembukaan semula ekonomi bermula September lalu menyebabkan peningkatan mendadak permintaan.
“Cuaca buruk dan kita sudah masuk musim tengkujuh sejak bulan lepas. Harga makanan biasanya naik masa ini setiap tahun sebab pengeluaran dan bekalan jatuh. Ini juga adalah faktor sementara.
“Saya juga tidak menolak kemungkinan bahawa ada yang akan mengambil kesempatan untuk naikkan harga pada ketika ini sebab permintaan sudah naik semula,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pemansuhan sistem GST oleh kerajaan terdahulu menyebabkan usaha memantau harga barang setiap rantaian tidak dapat dilakukan.
“Sebelum ini, saya telah memberi beberapa cadangan bagi menangani atau mengurangkan kesan dari faktor-faktor di atas. Jika berminat, boleh semak balik.
“Tetapi kini sudah ada dua jawatankuasa baharu ditubuh pengerusi MPN (Muhyiddin) bagi mengkaji kenapa harga barang naik sebab dia memang suka tubuh banyak jawatankuasa-jawatankuasa.
“Sebab itu, biarlah jawatankuasa-jawatankuasa tersebut mengkaji,” katanya. – Malaysiapost

