RAPID KL kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab seorang wanita, apabila sesuka hati membasuh tangan ketika berada di dalam Transit Aliran Massa (MRT).
Menerusi video tular berdurasi 15 saat itu, memaparkan seorang wanita yang bertindak membuka botol minum dan mencurahkan air ke lantai MRT untuk membasuh tangannya.
Situasi itu dirakam oleh pengguna lain dan dipanjangkan ke pengurusan Rapid KL.

Justeru, pihak Rapid KL telah memuat naik video berkenaan di Facebook bagi menegur dan meluahkan kekesalan terhadap perbuatan pengguna itu.
Rapid KL berkata, mana-mana pengangkutan tren tidak menyediakan perkhidmatan atau tempat untuk membasuh tangan.
“Kami tidak pernah upgrade tren kami untuk dijadikan tempat membasuh tangan,” katanya di Twitter baru-baru ini.
Sehubungan itu, Rapid KL turut menasihatkan orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam agar tidak meniru dan bersikap demikian.
Malah, Rapid KL menyeru pelanggan menerapkan perilaku yang lebih dalam menjaga keselesaan bersama.
“Harapan kami, jangan tiru aksi/perbuatan ini dan semoga semua penumpang lebih bertanggungjawab dan beretika ketika menaiki tren,” katanya.
Hantaran itu mendapat reaksi orang ramai yang meluahkan rasa kesal dan marah dengan perlakuan yang disifatkan tiada adab dan mementingkan diri sendiri.
@serianggerik berkata, beliau pernah melihat wanita itu di stesen Pasar Seni serta Bukit Bintang dan dia akan turun di stesen Sri Raya.
Katanya, wanita itu juga enggan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu tidak memakai pelitup muka dengan sempurna.
“Pernah nampak this aunty banyak kali. Dia takkan pakai mask, takat gantung kat dagu saja. Dia akan naik sama ada stesen pasar seni atau Bukit Bintang dan turun di stesen Sri Raya,” katanya.
@sygnh pula berkata:”Buruknya perangai”.
@misskampung berkata:” serius? Tak boleh tunggu sampai next station ke? Bad habit!”. – Malaysiapost

