MALAYSIA telah mengesan kes pertama varian baharu Covid-19 Omicron melibatkan seorang warganegara Afrika Selatan yang dikesan positif pada 24 November lalu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata pelajar berusia 19 tahun itu tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November, sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan penemuan varian berkenaan.
“Beliau telah dikenalpasti positif varian itu menerusi ujian saringan RTK di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Pengembara adalah pelajar universiti swasta di Ipoh, Perak,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.
Khairy berkata, beliau telah meminta KKM mengesan 74 sample ujian saringan yang dikesan positif di KLIA sejak 11 November dan dibuat jujukan venom untuk mendapat kepastian bagi varian tersebut.
Katanya, pengembara tersebut tiba di KLIA sebelum kerajaan mengetatkan sempadan negara dan tidak membenarkan warganegara daripada negara-negara tertentu masuk ke Malaysia.
“Kes tersebut telah menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh. Perjalanan kes dari KLIA ke Ipoh menggunakan bas disediakan khas oleh pihak universiti.
“Berdasarkan kepada sejarah MySejahtera, beliau telah patuh kepada perintah yang dikeluarkan. Kes telah diberi pelepasan pada 29 November.
“Pengesanan kontak rapat telah dijalanankan kepada semua penumpang bas dan pemandu iaitu seramai lima orang. Mereka telah jalani ujian saringan dan kuarantin wajib. Ujian saringan kali kedua disahkan negatif,” katanya.
Terdahulu, KKM dalam kenyataan mengesahkan melalui tindakan pencegahan dan kawalan jangkitan penyakit Covid-19 di semua pintu masuk antarabangsa dan survelan makmal yang dilaksanakan secara berterusan, kes pertama positif varian Omicron telah dikesan di Malaysia.
Sejak WHO mengumumkan varian yang dibimbangi (variant of concern – VOC) Omicron pada 24 November lalu Institut Penyelidikan Perubatan (IMR)mula menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas semua sampel positif yang disaring di pintu masuk antarabangsa.
Ia sebagai sebagai inisiatif tambahan kepada kajian berterusan jujukan genom penuh (whole genome sequencing – WGS). – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook

