PEGUAM Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Shafee Abdullah akan mengadakan sidang media mengenai perkembangan terkini kes mahkamah SRC International Sdn Bhd (SRC) petang ini.
Perkembangan tersebut dikongsi bekas Perdana Menteri itu menerusi hantaran di media sosial miliknya sebentar tadi.
Petang ini, peguam saya Tan Sri Shafee Abdullah akan mengadakan sidang media mengenai perkembangan terkini kes mahkamah SRC. Kira-kira jam 3 petang,” kata Ahli Parlimen Pekan itu.
Sidang media itu akan diadakan ketika keputusan rayuan Najib berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC akan berlangsung pada 8 Disember ini.
Keputusan itu akan diberikan oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
Pada tarikh tersebut, panel terbabit akan membuat keputusan sama ada mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Julai 2020 atau membebaskan Najib daripada sabitan salah yang telah dibuat sekali gus membatalkan hukuman penjara dan denda dikenakan terhadapnya.
Bagaimanapun apa juga keputusan Mahkamah Rayuan pada tarikh tersebut, pihak-pihak yang terlibat; Najib dan pendakwaan, masih mempunyai peluang terakhir untuk merayu iaitu di Mahkamah Persekutuan.
Najib memfailkan notis rayuan tersebut pada 30 Julai 2020 selepas tidak berpuas hati denga keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan rayuan tersebut telah didengar selama 15 hari bermula 5 April lalu.
Ketika memfailkan petisyen rayuannya, Najib mengemukakan 307 alasan kenapa beliau tidak patut didapati bersalah dalam kes itu.
Pada 27 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib dengan tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Hakim Mohd Nazlan kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadap bekas Presiden Umno itu.
Hukuman tersebut dibenarkan untuk digantung sementara menunggu rayuan Najib diputuskan. – Malaysiapost

