Tingkatkan program untuk belia, tangani perkahwinan bawah umur

0
2

[PARLIMEN] KERAJAAN perlu mewujudkan lebih banyak program bermanfaat buat belia agar mampu mengelakkan remaja daripada kahwin awal termasuk perkahwinan bawah umur.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, program-program memberi fokus kepada belia diharap dapat membuka peluang dari segi pendidikan dan kemahiran buat belia.

“Ini perkara yang perlu kita kemaskan, perbanyakan lagi. Saya berpandangan program yang KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sendiri lakukan perlu diperkemaskan dan diperbanyakkan lagi dengan bantuan semua pemimpin masyarakat.

“Jika kita dapat bekerjasama dengan baik, Insya-Allah masalah yang kita sebutkan ini dapat dikurangkan.

“Soalan tadi berkenaan KPI (Petunjuk Prestasi Utama), saya mohon ampun maaf kerana saya sendiri tidak ada maklumat mengenai apakah KPI. Tapi saya sendiri tidak berpuas hati dengan apa yang telah kita laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Kasthuri Patto (PH – Batu Kawan) yang membangkitkan isu tersebut di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Faizal berkata, bukan hanya KBS namun semua pihak perlu bekerja lebih keras agar isu perkahwinan bahawa umur dapat diselesaikan dengan lebih baik selepas ini.

Katanya lagi, KBS sangat menggalakkan remaja dan belia terlibat secara aktif dalam program anjurannya seperti Kem Anak Muda, Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM), Program Reben Kuning dan program-program lain.

Jelas beliau, dengan melibatkan diri dalam program berbentuk pemantapan jati diri dan pembinaan karakter serta membangun potensi diri, secata langsung akan mengurangkan kecenderungan remaja atau belia untuk berkahwin awal. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Faizal Azumu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here