MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta pihak yang mendakwa berlaku perbuatan buli dan pemerasan membabitkan sebuah kem tentera agar tampil menyalurkan maklumat lanjut mengenai dakwaan berkenaan.
Beliau merujuk kepada mesej yang tular mendakwa adik seorang individu yang tinggal di kem tentera sering dipukul oleh anggota tentera senior selain turut diperas hingga wang gaji dan simpanannya habis.
Hishammuddin berkata, perkara itu sedang diteliti dan jika dakwaan itu benar tindakan tegas akan segera diambil.

“Mohon individu disebalik mesej ini untuk DM (mesej peribadi) butiran lebih terperinci terus kepada saya atau hubungi pejabat saya segera.
“Jangan risau, identiti anda akan dirahsiakan,” katanya melalui satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, arahan turut diberikan kepada Timbalan Menteri untuk meneliti perkara berkenaan secara peribadi.
“Jika sahih, tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Terdahulu tular mesej seorang individu mengadu kepada rakannya mengenai keadaan adiknya yang dibuli dan diperas ugut di sebuah kem tentera.
Menerusi mesej berkenaan, individu terbabit mendakwa perbuatan itu dilakukan oleh anggota senior antara 12 hingga 14 orang dan perkara itu pernah dilaporkan kepada pihak atasan namun pelaku hanya dikenakan denda berkawad.
Individu terbabit juga mendakwa sudah menghubungi pihak polis namun diminta membuat aduan di kem tentera berkenaan dan beliau risau tragedi menimpa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain berlaku kepada adiknya. – Malaysiapost

