‘Bahas kenaikan harga barang di Parlimen, bukan Kamar Khas’ – Anwar

0
2

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan keputusan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang tidak membenarkan isu kenaikan harga barang dibahas di Parlimen.

Sebaliknya, isu tersebut hanya akan hanya dibahas di Kamar Khas.

Beliau berkata, sepatutnya perkara besar sebegitu perlu dibahaskan secara terbuka melibatkan semua kementerian yang terkait dengan isu tersebut dan bukan secara terhad seperti diputuskan Speaker.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyenaraikan dua alasan ia perlu dibahas di Parlimen, pertama kerana itu adalah kerana kepentingan rakyat dan kedua, ia melibatkan banyak kementerian.

“Belajarlah dari pengalaman. Tahun 1974, bila berlakunya Demonstrasi Baling, harga getah jatuh. Apa jawapan menteri pada waktu itu? Tahun 1974, ah ini kerana ‘stockpile’ di Amerika Syarikat maka sabar-sabar lah tuan-tuan.

“Orang nak ‘mentekedarah” pun tak cukup. Jadi sekarang ini jawapannya sama. Daripada 1974, Rusuhan Baling, sampai sekarang, menteri-menteri belum belajar lagi pengalaman dan derita rakyat.

“Sebab itu saya katakan orang tak nak dengar masalah dia apa. Orang nak tanya bagaimana boleh tolong selesaikan, meringankan sedikit beban hidup kami (rakyat). Itu yang mereka minta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, ketika beliau turun padang bertemu rakyat, ada di antara mereka sudah berminggu-minggu tidak membeli sayur, tidak makan ayam.

Justeru, katanya, adalah tidak wajar jika mengatakan isu tersebut boleh dibincangkan namun secara terhad.

“Sebab itu saya ambil peluang ini untuk menekankan hal sedemikian iaitu Parlimen lemah kalau tidak boleh memberikan ruang untuk membahaskan isu yang mendesak, hari ini, yang menekan rakyat.

“Janganlah tunggu lagi sampai timbul demonstrasi besar-besaran. Kalau boleh, kita sedang fikirkan kemungkinan itu,” ujarnya.

Dalam persidangan Parlimen hari ini, Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH – Pulai) meminta usul berkenaan harga barang dibahaskan sebelum Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon membenarkan usul tersebut dibincangkan di Kamar Khas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here