Gerai Prihatin Rakyat bantu ringan beban rakyat – Muhyiddin

0
1

PERIKATAN Nasional (PN) menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat dengan menjual barangan keperluan harian pada harga murah di seluruh negara dalam usaha membantu meringankan beban rakyat.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang juga Ahli Majlis Tertinggi PN dan Naib Presiden Bersatu dipertanggungjawabkan mengetuai jawatankuasa Gerai Prihatin Rakyat.

Muhyiddin berkata, selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) beliau memandang serius isu kenaikan harga barang yang pada hematnya akan menjejaskan proses pemulihan negara.

“MPN dalam sidang-sidang yang lepas telah meneliti kesan ke atas keupayaan sektor-sektor ekonomi untuk bangkit pulih sebaik ekonomi negara dibuka semula.

“Terutamanya dari sudut ketidakupayaan penawaran untuk memenuhi permintaan yang boleh menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Dalam hal ini, isu kekurangan tenaga kerja yang meruncing dalam pelbagai sektor dan masalah kecairan dihadapi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) telah diberikan penekanan khusus oleh MPN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata MPN menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu tenaga kerja bagi mengenal pasti langkah-langkah penyelesaian segera yang boleh dipertimbang dan dilaksanakan oleh Kerajaan.

Katanya, jawatankuasa itu diterajui Kementerian Sumber Manusia dan di anggotai pelbagai agensi berkenaan akan membentangkan laporan dan cadangan penyelesaian kepada MPN dalam mesyuarat yang akan datang.

Sementara itu, beliau berkata MPN turut menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu kekangan aliran tunai dan pembiayaan bagi PMKS untuk mencari penyelesaian segera isu kecairan yang dihadapi PMKS dalam tempoh pemulihan ini.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga akan membentangkan laporan dan cadangan penyelesaian kepada MPN.

“Saya berharap agensi penguat kuasa akan terus melipatgandakan usaha penguatkuasaan untuk memastikan pengeluar, pembekal dan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga pada kadar yang tidak munasabah.

“Tindakan undang-undang yang tegas mesti diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 ke atas mereka yang ingkar,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga berpandangan sebuah Jawatankuasa Kabinet wajar ditubuhkan untuk menangani isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here