Piala Malaysia: Saya tak dijemput turun ke padang – Shahidan 

0
1

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim seakan-akan ‘merajuk’ apabila tidak dijemput turun ke padang ketika majlis penyampaian hadiah selepas aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi. 

Sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, tentunya Shahidan terasa hati kerana tidak dijemput untuk sama-sama berada dalam barisan kenamaan dalam majlis penyampaian hadiah, apatah lagi pasukan Kuala Lumpur City bergelar juara. 

Pada masa sama, Presiden KL City FC yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa serta Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad berada di padang meraikan kejayaan bersama barisan pemain serta pasukan kejurulatihan. 

Menerusi satu hantaran ringkas di Facebooknya, Shahidan memaklumkan beliau hadir ke stadium untuk menonton aksi akhir malam tadi, namun tidak dijemput untuk turun ke padang. 

“Semalam saya hadir perlawanan bola sepak KL City lawan JDT, KL City juara… tahniah. 

“Pengacara tidak jemput saya turun ke padang. Pengacara juga tidak sebut nama saya… SOKAY (it’s okay),” katanya. 

Dalam perlawanan malam tadi, KL City menamatkan penantian 32 tahun apabila menjulang Piala Malaysia dengan menewaskan JDT 2-0. 

Sementara itu dalam hantaran berasingan, Shahidan berkata barisan pemain KL City akan menerima ganjaran susulan kejayaan memenangi Piala Malaysia. 

“Pemain-pemain KL City akan dapat hadiah nanti. Saya akan jemput mereka tidak lama lagi. Semalam saya hadir dgn penyokong dari seluruh negara, saya bawa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here