“PERANG” antara Kedah dan Johor Darul Takzim (JDT) masih belum berakhir apabila Presiden Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berpantun meraikan kemenangan KL City FC.
Tampil pada satu majlis, Muhammad Sanusi memberi ucapan dengan memulakan pantun berbunyi: “Dari Kedah ke Singapura, singgah ke KL membeli gula, saya membawa berita gembira, JDT kalah lawan bola”.
Pantun berkenaan tular di media sosial hari ini yang turut mendapat perhatian daripada netizen.
Terdahulu malam tadi, selepas JDT tewas kepada KL City dalam saingan akhir Piala Malaysia, Muhammad Sanusi memuat naik satu hantaran di Facebooknya yang berbunyi: “sapa ada gambaq rimau jalan tersipu-sipu. Tahniah KL City”.
“Saya dan jutaan peminat bola sepak tumpang gembira,” tulisnya lagi.
Sebelum ini Sanusi menerima penghantaran daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ismail yang berbentuk makanan segera McDonald’s bersama empat belon berwarna biru dan merah (warna rasmi JDT).
Ia selepas orang kuat pasukan bola sepak Kedah itu berbalas serangan dengan pemilik JDT di media sosial.
Perkara itu dikongsikan oleh TMJ sendiri melalui ruangan IG Story ketika pertembungan suku akhir Piala Malaysia antara Kedah dan JDT.
Turut diserahkan ialah sejambak bunga dengan mesej tertulis: “Dengan ingatan tulus ikhlas, TMJ.”- Malaysiapost

