SEORANG bapa bersama anak lelakinya antara tiga individu didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan membunuh, minggu lalu.
Tiada pengakuan direkodkan sebaik tuduhan dibacakan terhadap Ramli Lot, 60, dan anaknya, Ismail Rizwan, 34, dan seorang lagi lelaki, Mohd Fuzi Ab Manaf, 47, di hadapan Majistret Nor Azrin Liyana Mohd Darus.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, antara 9.50 hingga 11.05 pagi pada 25 November lalu di pasar pagi Rumah Pangsa, Jalan Hospital Ipoh.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan, lapor portal Suara Perak.
Pada prosiding itu, Peguam Mohd Hakim Hamran yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memaklumkan Ramli didiagnos mempunyai kemurungan dan gangguan emosi selain pernah menjalani pembedahan pembuangan tumor di kepala pada 2013.
Menurutnya, tertuduh juga mempunyai temu janji menjalani prosedur imbasan magnetik resonan (MRI) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 27 Disember ini.
Mahkamah kemudiann membenarkan Ramli dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) untuk penilaian mental.
Mahkamah turut menetapkan 3 Januari 2022 sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan bedah siasat dan penilaian mental.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sufi Aiman Azmi.
Sebelum ini media melaporkan, Muhammad Noor Faqih maut dalam pergaduhan dengan tiga suspek, dikatakan berpunca daripada isu kecurian pembesar suara mudah alih.
Suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan mangsa yang didakwa mencuri pembesar suara milik seorang daripada mereka sehingga berlaku pertengkaran mulut yang akhirnya membawa kepada pergelutan.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. – Malaysiapost

