Tiada keistimewaan diterima Sabah, Sarawak jika dipanggil Tanah Besar Malaysia 

0
2
Pejabat Perdana Menteri (PMO)

TIADA sebarang keistimewaan yang bakal diterima kepada Sabah dan Sarawak jika kedua-dua negeri itu dijenamakan sebagai Tanah Besar Malaysia.  

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib berkata kerajaan berpandangan istilah sedia ada dalam undang-undang iaitu Malaysia Timur adalah memadai. 

Beliau berkata, berdasarkan semakan undang-undang dibuat Jabatan Peguam Negara, didapati istilah Tanah Besar Malaysia tidak pernah digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada. 

“Penjenamaan itu tidak membawa apa-apa, kerana ia hanya bagi ‘easy reference’, tidak menambah atau menolak apa-apa keistimewaan kepada mana-mana negeri,” katanya pada sesi soal jawab hari ini. 

Hanifah Hajar menjawab soalan tambahan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan akan mengkaji untuk menjenamakan Sabah dan Sarawak sebagai Tanah Besar Malaysia memandangkan Federation of Malaya sudah sekian lama dinamakan sebagai Semenanjung Malaysia. 

Hanifah Hajar menjelaskan, di bawah undang-undang sedia ada, terdapat beberapa istilah digunakan seperti East Malaysia dan Peninsular Malaysia. 

Katanya, cadangan pindaan Perkara 1(2) seperti diperuntukkan dalam Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 sekiranya diluluskan kelak, akan memperuntuk kembali istilah Negeri-Negeri Borneo bagi merujuk kepada Sabah dan Sarawak. 

Bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 antaranya untuk memasukkan negeri-negeri Tanah Melayu dan negeri-negeri Borneo dijangka dibuat pada sesi Dewan Rakyat ini. 

Pada 3 November lalu, kerajaan membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here