Royalti minyak: Menteri Kewangan, Kabinet kena bertanggungjawab – Shabery Cheek

0
1

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata tidak wajar membiarkan PAS ‘bising’ berhubung isu tuntutan royalti petroleum sedangkan parti itu adalah sebahagian daripada kerajaan.

Beliau berkata, sepatutnya ada pihak yang mengambil tanggungjawab atau ‘ownership’ dalam mengendalikan isu berkenaan.

“Isu seperti ini mesti ada yang mengambil tangungjawab atau ownership. Kalau ini keputusan Menteri Kewangan, kenalah beliau beri penjelasan.

“Kalau ini keputusan Kabinet, semua kena lah bertanggungjawab. Tak boleh biarkan rakan kongsi bising sedangkan mereka sebahagian dari kerajaan,” katanya menerusi Facebook.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Azizi berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat kelmarin, beliau dilaporkan berkata, ia disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.

Bagaimanapun katanya, memandangkan lokasi medan petroleum berdekatan dengan perairan negeri Kelantan, maka Kerajaan Persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan.

Susulan itu, Kerajaan Kelantan memohon penjelasan lanjut daripada Kerajaan Persekutuan berhubung kenyataan Tengku Zafrul mengenai pembayaran royalti petroleum berkenaan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya memandang serius jawapan bertulis dalam persidangan Dewan Rakyat yang dilihat tidak selari dengan keputusan Kerajaan Persekutuan sebelum ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here