Ebit hadiah pakej umrah buat Ibu bapa Allahyarham Zulfarhan

0
2

PENDAKWAH bebas, Ebit Lew memberi hadiah istimewa tajaan pakej umrah kepada kedua ibu bapa Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Berita gembira itu dikongsi Ebit menerusi hantaran Facebooknya ketika menziarahi rumah keluarga Allahyarham hari ini, sempena ulang tahun kelahiran Zulfarhan.

Dalam hantaran itu, Ebit mengakui sayu dan sebak ketika bertemu ibu bapa Allahyarham di kediaman mereka di Skudai, Johor, pagi tadi.

“Sebak sayu rasa ziarah mak ayah Arwah Zulfarhan UPNM. Selepas Subuh tadi saya terus ke Skudai Johor. Hari ini hari lahir arwah 29 November.

“Saya niat hadiahkan tiket dan pakej umrah buat mak ayahnya disember ini. Syukur mereka gembira menerimanya.

“Mereka teringin sangat nak pergi haji atau umrah. Katanya syukur Allah jemput kami melalui ustaz. Semoga Allah mudahkan segala urusan keluarga ini.

“Segala puji bagi Allah. Menangis gembira terutama hari lahir arwah Farhan. Terasa macam anaknya sentiasa ada dekat,” tulisnya.

Dalam pada itu, Ebit memaklumkan Zulfarhan yang juga juniornya di Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru, merupakan anak berjiwa besar yang berimpian membawa kedua orang tuanya menunaikan haji dan umrah.

Menurut Ebit lagi, dalam pertemuan itu, walaupun kedua-dua ibu bapa Allahyarham tersenyum namun air mata mereka tidak berhenti mengalirkan.

“Kata maknya tempat duduk ustaz tu tempat arwah berehat selalu. Sepanjang berbual dalam senyuman kedua ibubapanya asyik mengalir air mata.

“Berat ujian mereka kehilangan anak tersayang dalam keadaan menyayat hati. Beliau anak yang baik. Anak sulung bercita-cita nak bawa keluarga pergi haji umrah,” katanya.

Dalam pada itu, Ebit berkata beliau berkesempatan menziarahi kubur Allahyarham serta tempat kerja ibu Zulfarhan

“Sempat ziarah sekolah tempat maknya bekerja berjumpa guru dan rakan pejabatnya. Ayahnya bekerja bawa taxi. Baik sangat kedua mak ayahnya. Lemah lembut orangnya.

“Sempat ziarah kubur arwah tadi. Berdoa bersama-sama. Ya Allah ampuni dan sayangilah keluarga Farhan ini.

“Berilah mereka kekuatan dan ketabahan melalui ujian hidup ini. Beri kesihatan yang baik buat keduanya dan adik-adik arwah Farhan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here