KEMENTERIAN Perpaduan Negara yakin peruntukan undang-undang sedia ada di bawah beberapa kementerian sudah cukup untuk dilaksana bagi menangani sebarang isu sensitif membabitkan kaum dan agama di Malaysia.
Timbalan Menterinya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata mengambil pendekatan mendidik dan memperkasa ekosistem perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini adalah lebih baik daripada pendekatan menghukum.
“Lebih baik jika kita tumpukan kepada Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.
“Saya yakin rakyat Malaysia dengan demokrasi yang matang mampu mengambil kira pendekatan ini, berbanding yang bersifat punitif (menghukum),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab cadangan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit Buntar) agar Kementerian Perpaduan Negara mengadakan akta khusus berkaitan kebencian kaum, berbanding ‘menumpang’ akta lain. – Malaysiapost

