KKM tak pasti keberkesanan vaksin kekang Omicron – Dr Noor Azmi

0
1
Botol vaksin AstraZaneca di PWTC.

VAKSIN dan ubat sedia ada belum dapat dipastikan keupayaannya mengekang penularan varian baharu Covid-19, Omicron yang dikatakan lebih banyak mutasi.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, mengesahkan Kementerian Kesihatan (KKM) belum dapat memastikan sejauh mana keberkesanan vaksin terhadap varian baharu berkenaan.

Beliau berkata, rakyat perlu mengambil sikap lebih waspada dengan kemunculan varian baharu, termasuk bertindak segera dengan mengambil dos penggalak.

“Sebab itu, pentingnya untuk kita ambil dos penggalak. Contoh dengan kemunculan Omicron ini. Ia dikatakan satu varian yang mungkin lebih bahaya kerana dikatakan mempunyai 32 mutasi protein berbanding sembilan oleh (varian) Delta.

“Omicron juga sudah menjadi varian membimbangkan (VOC). Kita belum pasti sejauh mana vaksin sedia ada boleh menangkis varian ini dan ubat yang diberikan dapat merawat varian ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) pada sesi soal jawab lisan.

Menurutnya, biarpun pelbagai sektor sudah dibenarkan dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), rakyat perlu menyedari mengenai kemunculan varian baharu, supaya dapat hindarkan dari dijangkiti Covid-19 sekali lagi.

Dr Noor Azmi menjelaskan, kajian banyak negara menunjukkan selepas enam bulan, imuniti seseorang akan mula berkurangan dan imuniti dapat ditingkatkan dengan dos penggalak seterusnya mengurangkan risiko jangkitan dan tahap serius.

“Saya rasa di negara kita, sudah mula ada kelekaan berlaku. Sebab bila hampir 80 peratus sudah dapat dos vaksin lengkap, ada kelekaan sedikit. Sebab semua rasa sudah ok.

“Kita kena faham, dengan kewujudan varian baru yang ditemui di Afrika Selatan dan terkini di Hong Kong, sebab itu kerajaan sudah mula melaksana kawalan ketat dengan tidak membenarkan mereka dari negara tertentu, datang ke sini,” katanya.

Menjawab soalan asal Ahmad Johnie mengenai tahap vaksinasi di Sarawak, beliau berkata, Sarawak kini menjadi negeri yang menerima jumlah dos penggalak tertinggi setakat kelmarin.

Dr Noor Azmi menambah, KKM sememangnya berusaha untuk memberi perlindungan vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

“Kanak-kanak lima hingga 11 tahun, apabila kita benarkan pergerakan, kita lihat mereka juga dibawa ke Langkawi dan majlis kahwin.

“Anak-anak kita ini, mereka tidak dilindungi (vaksin). Sebab itu kerajaan berusaha adakan vaksin kepada anak-anak berusia lima hingga 11 tahun ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here