SULTAN Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Datuk Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan tiga individu lain.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda, selain Ayob Khan, pengurniaan darjah DMIJ yang membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Amir Nasruddin dan Mantan Duta Besar Malaysia ke Bahrain, Agus Salim Yusof.
Selain itu, turut dikurniakan DMIJ ialah Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil yang membawa gelaran Datin Paduka.
Majlis pengurniaan darjah tersebut adalah bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) kepada empat individu.
“Penerima SIJ ialah Pegawai Daerah Tangkak Mohammed Shakib Ali, Pengarah Jabatan Kerja Raya Johor Abu Bakar Abd Aziz, Pengarah Perangkaan Johor Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga Jabatan Agama Islam Negeri Johor Maimunah Othman,” menurut hantaran itu.
Berangkat sama pada majlis itu ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. – Malaysiapost

