VARIAN baharu Covid-19, Omicron yang mempunyai lebih banyak mutasi dikhuatiri sudah menular di kebanyakan negara di luar Afrika dan semakin dekat dengan Malaysia.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengingatkan agar kerajaan lebih berwaspada dan mengetatkan kawalan serta pemantauan sempadan
Menurutnya, ia perlu dilakukan bagi sementara waktu ini ketika saintis dunia membuat kajian lanjut berhubung varian berkenaan.
“Pada masa kita waspada, kita juga jangan terlalu menakut-nakutkan diri sehingga lebih banyak lagi maklumat berhubung varian ini diketahui.
“Tapi tidak salah untuk kita mulakan kerja meningkatkan kapasiti perubatan, ambulans, fasiliti kuarantin, stok perubatan, sut perlindungan diri (PPE) dan lain-lain sebagai langkah persediaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut menggalakkan rakyat Malaysia menerima dos penggalak sebagai langkah pencegahan.
“Saya sendiri sudah menerima dos ketiga ini dengan selamat sebulan dahulu. Tetap cergas dan sihat.
“Mari kita sama-sama doakan perlindungan yang terbaik bagi Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

