Harga kailan ikan masin mahal pula tular

0
1

SELEPAS isu harga ikan siakap ‘kayangan’ dan harga sotong goreng tidak masuk akal, kini giliran masakan kailan ikan masin pula tular kerana harga jualannya yang dikatakan terlalu mahal.

Pelanggan sebuah restoran di Kepala Batas, Pulau Pinang bertindak memuat naik gambar sayur berkenaan dan resit memaparkan harga keseluruhan makanannya di media sosial semalam.

Dalam hantaran itu, individu terbabit terkejut apabila sebungkus kailan ikan masin untuk seorang makan dijual pada harga RM18.

“Kita sedia maklum barangan mentah naik harga. Harga jenahak, sayur campur, ulam dan sambal takpalah kita terima dengan reda.

“Tapi kailan ikan masin yang sikit boleh makan untuk sorang saja berharga RM18 memang sukar untuk diterima. Nak buat macamana. Reda,” tulis pelanggan berkenaan.

Kos keseluruhan makanan yang dibeli individu berkenaan berjumlah RM122, namun tidak mendedahkan nama restoran berkenaan.

Susulan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilaporkan telah mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) terhadap peniaga restoran yang terbabit.

Pihak KPDNHEP Pulau Pinang dalam satu kenyataan, hari ini memaklumkan pegawai penguat kuasa agensi itu sudah melakukan siasatan berkaitan isu yang ditularkan melalui media sosial mengenai hidangan kailan ikan masin yang mahal.

“Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pulau Pinang telah ke lapangan untuk menyiasat aduan yang diterima berkenaan perkara ini pada hari yang sama melalui aduan pengguna berkaitan ‘Harga terlalu mahal tidak setara kuantiti yang diberikan’.

“Satu NPMB bagi makanan kailan ikan masin berharga RM18 telah diberikan kepada peniaga dan peniaga perlu memberi maklum balas dalam tempoh dua hari bekerja,” menurut kenyataan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here