Kanak-kanak warga Republik Czech digigit anjing di muka

0
1

WARGA Balai Polis Batu Feringgi menerima penghargaan dan ucapan terima kasih daripada seorang warga Republik Czech selepas tindakan pantas anggota daripada balai polis berkenaan berjaya menyelamatkan nyawa anaknya.

Menurut perkongsian di laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, lelaki berkenaan bersama anaknya yang berusia lima tahun hadir ke Balai Polis Batu Feringgi semalam bagi mengucapkan penghargaan itu.

“Anak lelakinya mengalami kecederaan di bahagian muka akibat digigit oleh seekor anjing semasa melakukan aktiviti memanjat bukit di kawasan Batu Feringgi pada 20 November lalu.

“Menurut beliau, tindakan pantas dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya menyelamatkan nyawa anaknya,” menurut perkongsian itu.

Dalam kejadian berkenaan, dua orang anggota polis dari Balai Polis Batu Feringgi telah ke lokasi kejadian apabila menerima maklumat tersebut.

“Melihat kecederaan yang dialami oleh mangsa agak serius, anggota polis telah menghubungi anggota kereta peronda (MPV) untuk membantu mengiringi kenderaan ibu bapa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan serta merta,” katanya.

Sementara itu pihak IPD Timur Laut menasihatkan pemilik haiwan peliharaan supaya mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan haiwan peliharaan tidak mendatangkan bahaya kepada orang lain.

“Mengambil iktibar dari kejadian ini, pemilik-pemilik haiwan peliharaan dinasihati supaya memberi perhatian sewajarnya serta mengambil langkah sesuai bagi memastikan haiwan peliharaan tidak mendatangkan bahaya dan kegusaran kepada orang lain.

“Insiden yang menimpa kanak-kanak Republik Czech ini masih dalam siasatan oleh pihak IPD Timur Laut,” menurut perkongsian itu lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here